Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan menganjurkan Temasya Muamalah Islam sempena Program Dakwah Negara 2014 bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi bermula 28 Mei hingga 1 Jun 2014 ini.

Yang Dipertua Yadim, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, temasya itu yang merupakan kemuncak Program Dakwah Negara 2014, akan dipenuhi dengan pelbagai program berbentuk ilmiah, sukan, hiburan, kekeluargaan dan keusahawanan.

“Temasya ini dijangkakan mampu menarik 100,000 orang untuk berkunjung ke tapak pesta. Ini kerana selain 151 gerai jualan dan pameran, pelbagai program akan diadakan sepanjang temasya ini diadakan,’’ katanya dalam satu sidang media khas sempena Temasya Muamalah Islam di sini hari ini.

Dalam majlis hari ini, turut diadakan adalah penyampaian cek-cek penajaan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) kepada Yadim.

Dr. Asyraf Wajdi menjelaskan, Program Dakwah Negara 2014 telah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-raja, manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi penaung kepada program berkenaan.

Beliau berkata, antara program-program utama sepanjang temasya ini diadakan termasuk Majlis Anugerah Keluarg Mithali, Sidang Kemuncak Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam, Ijtimak Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah, Konvensyen Kepimpinan Muda Islam, Konvensyen Muamalah Islam serta Malam Puisi Dakwah Wasatiyyah dan Malam Jasamu Dikenang.

Selain itu, menurutnya, program lain termasuk Bicara Sakinah, Forum Perdana Hal Ehwal Islam, Program Transformasi Diri, Pentas Deklamator Islam, Forum Haji Perdana, 24Hours Da’wah, Qiamulail Perdana, Sukan Harmoni, Pertandingan Debat Dakwah Negara, Pertandingan Lagu-lagu Dakwah, Malam Ekspresi Cinta Allah dan Rasul dan banyak lagi.

Beliau menjelaskan, dalam menganjurkan temasya berkenaan, Yadim telah mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi termasuk agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.